Masuk ke Dalam Cahaya




Ulasan buku 'Masuk ke Dalam Cahaya' oleh Abdullah Hussain ( Sasterawan Negara ke- 8)


Apa yang saya dapat simpulkan daripada buku ini ialah ia telah merangkumi makna ayat suci Al-Quran yakni 'Sesungguhnya tiada ia kuasa atas orang-orang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya. Dia hanya berkuasa atas orang yang memilihnya sebagai teman dan mempersekutukan Tuhan'. 

Buku ini menceritakan bagaimana Iblis amat memusuhi anak cucu Nabi Adam a.s. Iblis laknatullah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghancurkan masa depan kita, kerana dendamnya terhadap manusia yang menyebabkan dia diperintahkan oleh Allah untuk bersujud kepada Nabi Adam a.s. Kerana kesombongan dan sikap takburnya menyebabkan dia dihalau keluar dari syurga-Nya. Sejak itu, perjuangan Iblis bermula untuk menghancur dan menyesatkan umat manusia supaya ramai memasuki neraka-Nya. 

Walau bagaimanapun, Allah SWT Maha Adil lagi Bijaksana. Hamba-Nya yang ikhlas beribadah dan bertawakal kepada Nya akan diselamatkan daripada hasutan Iblis laknatullah. Iblis tidak akan mampu menggoda golongan ini. Janji Allah itu benar dan Dia akan menjaga hamba-hamba-Nya.

Pada pendapat saya, Allah amat menyayangi kita. Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi. Walaupun kita selalu membuat kesilapan, pintu taubat sentiasa terbuka. Kita bertaubat, buat kembali dosa, bertaubat semula dan membuat dosa dan proses ini sentiasa berulang, namun Allah tetap sudi mendengar taubat kita dan terus menyayangi kita. Allah juga berfirman bahawa Dia amat menyayangi hamba-Nya yang bertaubat sesudah melakukan kesalahan, kemudian tersalah langkah lagi dan bertaubat kembali. Sungguh besar kasih sayang Allah terhadap kita. 

Hal ini amatlah bertentangan dengan perbuatan Iblis. Bayangkan jika Iblis ingin bertaubat. Iblis tidak mampu berbuat sebegitu kerana neraka telah disiapkan untuknya. Kemurkaan Allah terhadap Iblis berpanjangan sampai bila-bila. Takdir hidup Iblis sungguh menyedihkan. 

Benarlah, kita sebagai umat manusia amnya dan umat Nabi Muhammad SAW khususnya amat beruntung kerana sentiasa mempunyai tempat untuk kembali. Oleh itu, terima kasih wahai Allah kerana begitu lemah-lembut dalam menyayangi kami, hamba-Mu yang hina ini.

Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melawan Iblis, syaitan dan nafsu dengan menggunakan akal yang dianugerahi oleh Mu. Kami akan menjadi hamba yang ikhlas beribadah kepada-Mu, dan dengan bantuan-Mu kami akan menang dalam pertarungan melawan iblis sehingga hari kiamat. 





Comments

Popular posts from this blog

Last Breath